Rabu, 3 September 2008


PROUUM ONLINE: PUSAT kaunseling universiti diingatkan supaya memberikan perkhidmatan berkesan bagi mengelakkan ia dimansuhkan daripada struktur organisasi institusi pengajian tinggi (IPT). Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama), Tan Sri Dr Nordin Kardi, tidak menolak kemungkinan ada naib canselor akan mengambil tindakan menutup unit itu jika mendapati ia tidak berkesan membantu kakitangan dan pelajar.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, antara peranan utama perlu dilaksanakan kaunselor universiti ialah membimbing pelajar berdikari menghadapi kehidupan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada kerajaan atau keluarga setelah tamat pengajian. Katanya, sesiapa saja yang sudah dilatih sebagai kaunselor perlu membuktikan mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik. "Contohnya, kaunselor universiti perlu mengusahakan supaya pengurusan universiti benar-benar percaya kaunseling berkesan menolong pelajar dan kakitangannya, bukan sekadar pelengkap struktur organisasi universiti. "Mungkin ada naib canselor yang cukup berani akan menutup pusat kaunseling jika ia tidak menjalankan perkhidmatan dengan berkesan kerana ia adalah pembaziran sumber dan tenaga. "Sebelum itu berlaku, saya berharap kaunselor universiti dapat membuktikan kewujudan mereka memang amat diperlukan dan dapat memberi sumbangan sewajarnya kepada kemajuan universiti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kaunseling Kebangsaan ke-8 anjuran UUM dengan kerjasama Perkama serta Majlis Kaunseling dan Kerjaya Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (Makuma) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid. Seminar bertema Personalia Kaunseling Dalam Organisasi: Pembangunan dan Aplikasi itu bertujuan memberi pendedahan mengenai proses kaunseling yang lebih sistematik dalam pembangunan insan.

Terdahulu dalam ucapannya, Nordin berkata, Perkama bercadang mewujudkan kerangka akreditasi bagi menilai kualiti latihan serta perkhidmatan bidang kaunseling termasuk yang ditawarkan di IPT. "Satu kumpulan kerja akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi memastikan idea ini dapat dilaksanakan secepat mungkin. "Penilaian latihan dan perkhidmatan kami di IPT nanti tidak akan bertindih dengan akreditasi yang dilakukan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya. "Apa yang akan kami lakukan nanti adalah penilaian khusus bidang latihan dan perkhidmatan kaunseling di IPT berbanding penilaian umum dibuat MQA. Ia boleh diambil secara sukarela oleh pengamal kaunseling yang mahu meningkatkan prestij kerjaya mereka," katanya. End.

Sumber: Berita Harian, 4 Disember 2007

5 ulasan:

azitacj berkata...

Tan Sri dok nak fikir camno k'lor akan berkesan di IPT..sedangkan di sekolah k'lor2 dah tertonggang langgang buat semua kerja agar nampak berfungsi... itu pun masih tak juga nampak berkesan...tak tau nak pakai formula apa lagi agar mereka nampak apa yang kita buat di sekolah

CIKLI berkata...

mungkin depa dah nampak kita berfungsi di sekolah... cuma mentaliti 'mereka' kata berfungsi itu maksudnye masuk kelas mengajar.... hanye persepsi saya

azitacj berkata...

bagaimana kalau upgrade aje guru kaunseling yang hebat-hebat ni ke IPT dan k'lor kat IPT tu hantar balik ke sekolah

Abdul Moeis Abdul Halim K.B (Mal) berkata...

sekadar pandangan...apa kata kalau kaunselor di sekolah juga mengajar satu atau dua subjek, dan seharusnya ada pihak atasan di kementerian memimikirkan subjek-subjek tertentu yang boleh di jadikan elektif kepada student seperti kelas ko-k,

CIKLI berkata...

pandangan moies menarik dan boleh dijadikan sebagai pekhidmatan untuk memperkembangkanlagi perkhidmatan dan penerangan ilmu psikologi kepada pelajar sekolah.. tapi bilangan kaunselor mesti ditingkatkan disetiap sekolah terlebih dahulu kerana bidang tugas sekarang sudah 25 bidang yang perlu dilaksanakan. jika bilangan kaunselor sudah bertambah saya setuju subjek tertentu sperti psikologi diajar kepada pelajar